#MACAM-MACAM ~ Doktor bengang pramugari Malaysia nampak seluar dalam

0 comments
Gambar hiasan. - Foto sumber Google

WELLINGTON - NEW ZEALAND. Seorang doktor dilaporkan menulis surat kepada seorang senator di Malaysia dan meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap etika pemakaian pramugari sebuah syarikat penerbangan tempatan.

News.com.au mengatakan Dr June Robertson 'jijik' melihat pramugari syarikat penerbangan tersebut yang didakwanya terlalu pendek.

Dia yang sering berulang-alik ke Malaysia menerangkan butiran beberapa kejadian secara teliti dalam surat tersebut.

"Saya boleh nampak seluar dalam seorang pramugari yang sedang membongkok di KLIA 2. Sangat teruk!" kata Robertson.

Foto sumber News.com.au

Dalam kejadian lain, blaus seorang pramugari didapati terbuka luas sehingga menampakkan buah dada semasa wanita tersebut menunduk untuk menyediakan makanan.

"Saya bengang dan minta dia tutup jaket," kata Robertson.

Robertson menegaskan, dia suka kepada Malaysia kerana rakyatnya berpakaian sopan.

"Merujuk kepada pakaian sesetengah pramugari yang seksi, perkara tersebut boleh merosakkan imej Malaysia," kata Robertson.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

Read More »

#PENDAPAT ~ Pembangkang paling kecewa jika Umno menang PRU14 - Nik Abduh

0 comments
SHAH ALAM - Pas adalah ganti Umno-BN untuk Malaysia, ia matlamat utama Pas memasuki PRU14 nanti, demikian menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Ujarnya, ini dibuktikan dengan keazaman Pas untuk bertanding 40 Kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum berkenaan.

"Sasaran memenangi minima 40 kerusi Parlimen adalah sebuah gerakan besar untuk pengislahan negara daripada Pas.

"Ia adalah realistik bagi Pas daripada terus berilusi dengan penawar seribu bencana ciptaan seorang doktor veteran gagal yang terus angkuh dengan taubat demi taubatnya yang bohong dan palsu," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik menerusi Facebooknya.

Katanya, sasaran minima 40 kerusi ini adalah kekuatan bagi Pas dan kelemahan yang ketara bagi Umno.

"Kemenangan lebih besar untuk Pas pasti akan menjelma. Ia akan menjelma sebaik Pas terus kukuh dengan thabat dan istiqamahnya memperjuangkan Islam dan nilai-nilainya yang tinggi dalam menjamin tadbir urus negara yang penuh integriti, sejahtera dan cemerlang," katanya.

Dalam pada itu katanya, Pakatan Harapan akan kecewa teruk bersama penyokongnya jika Umno terus memenangi PRU14.

"Hanya itu sasaran mereka. Gagal bererti gelap selamanya. Kerja selepas itu adalah menanti PRU15 pula.

"Tetapi Pas sebaliknya. Pas melihat negara dan politiknya dengan mata hatinya yang lebih jelas dan benar," katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

Read More »

#RENCANA ~ Aneh apabila Bank Negara beli tanah !!!!

0 comments
Oleh: A.Kadir Jasin
SAYA sudah ceritakan bagaimana ekonomi mempengaruhi kadar tukaran Ringgit dan bagaimana kadar tukarannya mempengaruhi kos import dan kos sara hidup.

Kalau nilai Ringgit naik, kos import turun. Tetapi kalau nilai Ringgit jatuh, kos import naik. Bila kos import naik, harga runcit barang yang kita import pun naik juga.

Maka sebab itulah sejak pertengahan tahun 2014 harga banyak barang pengguna naik, khususnya barang import, sebab mulai waktu itu nilai Ringgit mula jatuh.

Kejatuhan nilai ini jadi lebih teruk apabila kita jual Ringgit dengan banyak untuk dapatkan mata wang asing, khususnya Dolar, untuk membayar balik hutang luar negara.

Untuk bayar hutang luar negara, kita perlukan Dolar atau mana-mana mata wang utama macam Dolar Singapura, Euro, Yen Jepun dan Franc Switzerland. Kita tidak boleh bayar terus dengan mata wang kita.

Lagi banyak hutang kita, khususnya dari luar negara, lagi lemahlah duit kita. Lagi lemah Ringgit, lagi tinggilah kos sara hidup.

Yang jaga hal ehwal mata wang dan kawal inflasi adalah Bank Negara. Tetapi baru-baru ini kita dengar berita Bank Negara beli tanah sampai RM2 bilion daripada kerajaan kononnya sebagai tapak institusi pengajian perbankan Islam.

Kita tidak pernah dengar Bank Negara beli tanah begitu punya banyak dan mahal atau kerajaan jual tanah berbilion ringgit. Sepatutnya, Bank Negara sebagai institusi penting negara dapat tanah percuma atau dengan harga murah daripada kerajaan untuk bina universiti.

Jadi bila Bank Negara beli tanah kerajaan sampai RM2 bilion bagi tujuan pendidikan, banyak orang terkejut dan tidak percaya dengan alasan yang diberikan.

Oleh sebab pembelian tanah oleh Bank Negara dan penjualannya oleh kerajaan berlaku hampir serentak dengan pembayaran balik hutang 1MDB kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), Abu Dhabi, maka banyak orang percaya duit RM2 bilion itu adalah bagi tujuan tersebut.

Pada 27 Disember lalu, 1MDB bayar ansuran kedua dan terakhir sebanyak AS$600 juta (kira-kira RM2.5 bilion) kepada IPIC. Ini adalah sebahagian daripada duit 1MDB yang kononnya telah dibayar kepada IPIC sebagai pelaburan tetapi lesap dan dipercayai masuk akaun peribadi Jho Low dan sekutunya.

Jadi adalah sukar untuk menyalahkan orang ramai yang faham mengenai perniagaan apabila mereka berkata jual-beli tanah itu adalah sebahagian daripada operasi 'kuda pusing' (merry-go-round) bagi menyelesaikan skandal 1MDB.

Betullah dakwaan bahawa masalah 1MDB telah selesai, tetapi yang tanggung beban hutangnya sekarang adalah kerajaan kerana semua tanggungan (liabilities) 1MDB telah dipindahkan ke Kementerian Kewangan.

Tentu ada pihak akan nafi dakwaan pemindahan duit dari poket kiri ke poket kanan ala kuda pusing itu. Tetapi yang tidak boleh dipertikaikan adalah perangkaan Bank Negara sendiri yang menyokong kemungkinan itu.

Laporan dua minggu sekali Bank Negara mengenai harta dan tanggungan (hutang) bagi dua minggu terakhir tahun 2017 mencetuskan dua kemungkinan.

Pertama, Bank Negara telah mencetak RM2 bilion duit baharu dan kedua, ia memasukkan RM2 bilion duit baharu ke dalam pengedaran. Secara kebetulan jumlah ini hampir sama dengan harga tanah yang Bank Negara bayar dan jumlah hutang yang 1MDB langsaikan.

Di antara 15 hingga 29 Disember, jumlah wang dalam edaran (money in circulation) naik daripada RM101.5 bilion kepada RM103.5 bilion.

Pada masa sama, rizab emas, mata wang asing dan rizab-rizab lain termasuk hak penarikan istimewa (SDR) Bank Negara merosot kira-kira RM17 bilion daripada RM431.6 bilion kepada RM414.6 bilion dipercayai kerana pembayaran hutang luar negara.

Bila jumlah rizab jatuh, nilai Ringgit juga jatuh. Pada 30 Disember lalu, Ringgit jatuh kepada RM4.48 iaitu kadar paling rendah sejak 29 Ogos 2014 apabila nilai Ringgit adalah RM3.15 bagi setiap satu Dolar.

Tidak syak lagi kemerosotan ini berpunca daripada masalah hutang 1MDB khasnya dan hutang negara amnya. Hutang kerajaan dan hutang negara kini berada pada paras paling tinggi dalam sejarah daripada sudut nilai.

Memandangkan banyak perkembangan luar biasa telah berlaku sejak kepimpinan Bank Negara berpindah tangan kepada Gabenor Tan Sri Muhammad Ibrahim, khususnya pembelian RM2 bilion tanah kerajaan, maka adalah menjadi kewajipan Bank Negara menjelaskan hal-hal yang disebutkan di atas bagi mengelak prasangka buruk terhadap integritinya.

Wallahuaklam.

-SH-

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

Read More »

#AMPHICOACH ~ Dua alam, jangan jadi tiga alam...

0 comments

Oleh:Abd Jalil Ali

WALAUPUN pantai timur dilanda banjir, berkereta ke Kuala Terengganu dua minggu lalu tidak terganggu sedikit pun. LPT2 dari KL ke destinasi, tidak dihalang air.

Radio mengumumkan dari semasa ke semasa beberapa kawasan di Pahang, Terengganu dan Kelantan semakin dinaiki air dengan beribu-ribu mangsa sudah berada di pusat pemindahan.

Bimbang juga jika serangan kedua banjir memutuskan hubungan utama ke pantai timur. Terbayang kesulitan sekiranya air melimpah dan laluan LPT2 ditutup. Kena tidur dalam kenderaan!

Maka teringat saya kepada ‘amphicoach’, kenderaan yang dibeli oleh Kerajaan Negeri Terengganu, dan diuar-uarkan sebagai paling sesuai digunakan menghadapi situasi banjir.

Bas amfibia ialah kenderaan dua alam – boleh guna di darat, boleh juga di dalam air – bagi memudahkan kerja-kerja memindahkan mangsa ketika banjir. Kenderaan unik itu juga dikatakan boleh digunakan di Tasik Kenyir sebagai usaha untuk menambahkan lagi jumlah pelancong ke negeri ini.

Konon di seluruh dunia hanya ada 13 unit kenderaan seumpamanya, maka Negeri Penyu dikira hebat – dan memecah rekod – kerana memiliki satu.

Kenderaan eksklusif itu dibuat di Malta, harganya RM3 juta sebuah. Seperti yang telah diumumkan, perjanjian pembelian telah dimeterai pada 2014, dan bayaran 50 peratus pun telah dilunaskan.

Orang ramai teringin sangat melihat, kalau boleh hendak menaiki kenderaan eksklusif itu, hendak mencipta sejarah, almaklumlah dalam dunia hanya ada 13 unit.

Tetapi sehingga hari ini, sesudah empat tahun, bas dua alam itu tidak muncul-muncul.

Banjir sudah beberapa kali melanda, penyu sudah jenuh menunggu, namun amfibia tidak kunjung tiba.

Pembelian yang dibuat setahun selepas PRU13, kini sudah hendak masuk PRU14 benda yang dibeli belum nampak. Maka ramai yang bertanya, siapakah yang beridea bernas lagi kreatif dan inovatif, memesan kenderaan tersebut dulu.

Apakah pertimbangan dan terma yang dipersetujui semasa memeterai perjanjian dan kontrak pembelian dulu? Apakah ada dinyatakan dalam kontrak bahawa penyerahan kenderaan tersebut boleh dibuat dalam tempoh lebih empat tahun?

Mengapa mereka kini berani mengingkari janji? Empat tahun adalah tempoh yang sangat lama untuk pembelian hanya sebuah bas. Kalau tempah roket atau kapal selam pun mungkin tidak mengambil masa begitu lama.

Walaupun sudah lama menjadi percakapan rakyat dan dibangkitkan dalam sidang Dun, isu sebuah bas dari kilang Malta itu masih menjadi tanda tanya.

Seperti yang dijelaskan oleh kerajaan kenderaan tersebut perlu diubahsuai mengikut kesesuaian Malaysia, dan sepatutnya diserahkan pada Jun 2015.

Tetapi telah beberapa kali diberi tarikh baharu, barang masih tidak sampai. Pihak pembangkang prihatin dengan masalah bas berkenaan yang masih tersangkut di kilang.

Adun Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pernah menawarkan dua orang jurutera untuk memeriksa kenderaan tersebut.

“Kita boleh hantar jurutera kita ke sana secara percuma, untuk menyelesaikan masalah teknikal,” YB berkenaan memberitahu sidang Dun. Tetapi kerajaan negeri memandang sepi tawaran berkenaan, sebab yakin kenderaan berharga RM3 juta itu boleh diuruskan dan akan tiba juga ke bumi keropok lekor.

Seperti yang terbukti, sampai sekarang umum masih tertanya-tanya bila amfibia dari Malta akan bersalaman dengan penyu di Terengganu.

Beberapa bulan lalu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman memberitahu media, kerajaan tidak dapat menunggu lebih lama lagi dan memberi tempoh hingga November 2017, kepada pihak pembekal.

“Sekiranya tidak (sampai pada November 2017) kita akan saman dan kita tiada kompromi,” tegas Menteri Besar.

Kini November 2017 sudah berakhir, dan 2018 sudah menghampiri Februari, namun bas amfibia masih tidak kelihatan. Kerajaan difahamkan masalah teknikal telah dibetulkan, tetapi bas masih berada di Malta.

Bas tersebut masih tersadai di luar negara, kerana masalah penghantaran, dan menurut Razif, perihal penghantaran itu adalah “soal pembekal, bukan soal kita.”

Memanglah masalah penghantaran adalah soal pembekal. Tetapi sekiranya kenderaan itu tidak dihantar, itu bererti kita kena tipu; maka itu menjadi soal kita. Duit telah dibayar, tarikh akhir penghantaran masih tidak dipatuhi. Jangan tunggu dan terus berkompromi.

Tindakan segera perlu diambil. Rakyat tidak mahu duit mereka dibazirkan begitu sahaja. Perihal bas dua alam itu – alam darat, dan alam air – jangan sesekali masuk lagi satu alam, iaitu alam alam misteri @ alam ghaib.

Biarlah bas amfibia RM3 juta itu kekal dua alam, jangan jadi tiga alam. Malu kita boh![SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

Read More »

#KOS SARA HIDUP ~ Cuepacs gesa kenaikan gaji dalam masa terdekat

0 comments
Azih (duduk, tengah) ketika sidang media di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

KOTA BHARU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji kakitangan awam dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya awal tahun ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, perkara tersebut sangat wajar dinilai oleh kerajaan memandangkan kakitangan awam kini dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang sangat tinggi dan juga keperluan memiliki rumah.

Menurutnya, berdasar kajian yang dijalankan, pihaknya mendapati gaji penjawat awam sebenarnya sudah tidak mampu lagi untuk menampung kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat.

“Apa lagi ditambah pula dengan kos pembelian harga rumah, yang mana kita tidak boleh anggap ia sebagai satu perkara sampingan kerana setiap orang yang mahu memulakan kehidupan mereka mesti ada rumah.

“Cuepacs cuma meminta perhatian kerajaan supaya pertimbangan cadangan dan tuntutan kita, antara yang amat ditunggu pada masa ini ialah, pemberian kerajaan berkaitan dengan satu kenaikan gaji,” katanya kepada media sebentar tadi.

Terdahulu beliau menyampaikan taklimat Transformasi Perkhidmatan Awam: Isu dan Cabaran Penjawat Awam melibatkan lebih 300 kakitangan awam Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin, Pengerusi Cuepacs Kelantan, Aminuddin Awang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam, Datuk Zamri Ismail.

Dalam pada itu, mengulangi kenyataannya beliau sebelum ini, Azih berkata, disebabkan kekangan kehidupan dihadapi kini, kakitangan di negara ini boleh menjadi miskin sekiranya mereka membeli rumah.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

Read More »

#TUTORIAL ~ Cara Memasang Iklan Google Adsenses Pada Artikel Blog

0 comments
TUTORIAL CARA PASANG IKLAN GOOGLE ADSENSE DALAM ARTIKEL 

Ramai nya rakan blogger yang dah lulus akaun google adsense .Tahniah semua... Yang belum lulus tu InsyaAllah sikit hari lagi rezeki korang pulak. Tapi bukan semua orang tahu macam mana nak pasang iklan google adsense di blog.

Untuk hari ni saya nak kongsikan cara betul pasang iklan google adsense didalam artikel supaya kita boleh menjana lebih lagi keuntungan dengan iklan dari google adsense ini.

Saya pun sebenarnya bukan pandai sangat.tapi sebab saya kerap tukar template blog , jadi dah beberapa kali masuk kan iklan adsense di bahagian dalam artikel tiba-tiba rasa macam dah pandai pulak.hahahah.

Tutorial ni khas untuk kawan-kawan yang minta saya ajarkan .Yang tak paham boleh rujuk gambar ye..

TUTORIAL CARA PASANG IKLAN GOOGLE ADSENSE DALAM ARTIKEL

1- Mula-mula log in ke akaun Google Adsense korang.

klik pada "my ads"

Klik pada +new ads unit


2- Pilih in article ads


3- Sekarang edit paparan iklan korang ikut citarasa korang . Letak nama dulu untuk iklan korang tu dibahagian "Ad Unit Name" ..saya letak nama DALAM ARTIKEL supaya senang nak cari .

. Terserah korang nak edit macam mana.Nak kaler biru, kaler hitam , font besar ,kecik terpulang pada korang.

Kemudian klik pada SAVE AND GET CODE



4- Lepas tu korang akan sampai ke laman di bawah ni..Yang ada code Google adsense korang.



5- Sekarang kita nak PARSE dulu code iklan adsense korang tu. Korang klik link ni.. http://www.blogcrowds.com/resources/parse_html.php .. Pergi semula kat laman google adsense korang tadi dan copy code yang dalam langkah ke 4 tu..

Lepas copy klik pada I'm Done.

Paste code tadi diruangan untuk parse tadi dan klik pada PARSE..(rujuk gambar bawah ni)

Terus code adsense korang jadi macam atas ni..

tinggalkan sekejap website ni..

TUTORIAL CARA PASANG IKLAN GOOGLE ADSENSE DALAM ARTIKEL

6- Sekarang buka korang punya Blogger dan pergi pada Theme.

Klik pada Edit HTML

Kemudian klik kiri mana-mana bahagian dalam kotak html korang tu Lepas tu tekan seretak CTRL+ F

keluar la kotak search dalam tu..

Dalam kotak search tu cari code ini kemudian tekan Enter .

Code ni biasa nya ada 3..dan korang ambik yang ke tiga.

Nak ingat yang mana satu code yang ketiga tengok nombor tepi dia tu..



Tengok gambar atas ni..Yang kat atas sana kotak search. bila korang tekan enter dia akan highlight mana satu code yang korang cari.Tekan enter sekali lain dia akan gerak ke code yang kedua.tekan enter lagi dia gerak ke code ke tiga.

Code ke tiga saya di nombor 2169...Korang punya mungkin kat nombor lain..

Sekarang korang berhenti kat code ke tiga tu..


7- Gantikan code dengan code bawah ni.





Maknanya code yang korang cari tadi kat kotak search tu korang gantikan dengan code yang saya bagi ni.Copy paste je.. ok paham???

8- kembali semula ke website yang kita Parse code tadi.. Sekarang copy code yang kita parse tadi. Dan paste kat bahagian yang tulis --Letakkan kod unit adsense hasil parse disini--


9- Klik pada Preview . Masa preview tak de la keluar iklan tu.Kita klik preview cuma sebab tak mau ada error je..keluar je gambar preview blog korang boleh la tekan SAVE THEME.

10. Tunggu la dalam 15-20 minit nanti keluar la iklan adsense tu..Tapi biasanya tak sampai 15 minit pun.. 10 minit gitu dah keluar.

Credit untuk Blog http://www.sensasi2020.com . Terimakasih Bro Kamil untuk Tutorial ni..Semoga entry tutorial cara pasang iklan google ansense dalam artikel ini dapat membantu korang .


Sekian..

credit

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

Read More »

#TUU DIAA>> ~ Mark Zuckerberg rugi RM11.4 bilion kerana ubah Facebook

0 comments
Our hearts go out to the family and friends of Robert Godwin Sr," said Mark Zuckerberg near the start of Facebook's annual F8 developers conference. – coed.com photo

SILICON VALLEY - AMERIKA SYARIKAT. Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg kerugian AS$2.9 bilion selepas beliau mengurangkan kandungan iklan dan menambah kandungan sosial di laman berkenaan.

SCMP mengatakan saham Facebook jatuh 3.9 peratus di New York dan Zuckerberg berpotensi kehilangan posisinya sebagai individu keempat terkaya di dunia.

Kata Facebook kepada rakan kongsi, laman sosial tersebut sedang menyesuaikan diri dengan polisi baharu mereka.

"Kami tahu kemas kini terhadap News Feed akan sedikit mengganggu kepada anda dan perniagaan anda. Perubahan ini akan ambil masa untuk berjaya," kata kenyataan dari Facebook.

Facebook menegaskan, pihaknya akan terus menyediakan utiliti terbaik untuk para pengiklan untuk terus mencipta kandungan yang mempromosikan perniagaan mereka.

Sejak beberapa bulan lepas, Zuckerberg kerap meluahkan keinginannya untuk menjadikan Facebook laman berinteraksi yang lebih baik.

Antara azam 2018 beliau adalah 'memperbaiki' Facebook.

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

Read More »

#PRU 14 ~ Amanah tidak mampu ganti Pas berpandukan peruntukan kerusi - MAPAN

0 comments
27 kerusi yang diperuntukkan kepada Amanah tidak cukup menggambarkan hasrat asal penubuhan parti, apalagi mahu mencabar Pas.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff (gambar) berkata, objektif Amanah adalah untuk menggantikan tempat dalam Pas di dalam Pakatan Harapan, tetapi pengagihan kerusi itu tidak menggambarkan hasrat tersebut.

“Dalam PRU lalu, 65 kerusi parlimen yang ditandingi, hanya 25 kerusi yang diberikan kepada Amanah, manakala 35 kerusi lagi kepada Bersatu, empat PKR dan 1 DAP.

“Dakwaan Amanah pengganti Pas diragui pelbagai pihak kerana pengganti Pas tidak sepatutnya diberikan tidak sampai separuh kerusi,” katanya.

Kamarul Zaman mengulas pengumuman Muafakat Pakatan Harapan 8 Januari lalu yang menyaksikan Amanah mendapat kerusi tercorot berbanding parti-parti lain dalam Harapan.

Kata penganalisis politik itu, Bersatu sebagai sebuah parti terbaru tidak sepatutnya cuba menjadi abang besar dalam Harapan, apatah lagi dengan segala permasalahan yang dihadapinya dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung penubuhannya.

“Tindakan Bersatu mengambil kedua-dua kerusi Pas di Wilayah Persekutuan dan di Perlis untuknya sehingga Amanah langsung tidak dapat bertanding di situ menunjukkan ketamakan Bersatu, namun peliknya pemimpin Amanah sendiri boleh bersetuju dengan hal ini.

“Semua ini menunjukkan para pemimpin Amanah tidak tegas di dalam mempertahankan kepentingan parti mereka menyebabkan mereka diperbudak-budakkan oleh parti-parti lain sekali gus menyebabkan masa depan Amanah dijangka sangat suram.

“Saya boleh memahami bila pemimpin bawahan Amanah berduka dan kecewa atas layanan teruk yang mereka terima ini, malah di Wilayah Persekutuan sampai ada yang dilaporkan menangis, kerana ia berkait dengan masa depan Amanah.

“Presiden Amanah, Mohamad Sabu, boleh sahaja menyatakan bahawa Amanah akan memenangi kesemua 27 kerusi yang diberi kepada mereka demi memujuk para penyokong, tetapi realitinya sangat mustahil mereka menang kesemuanya.

“Layanan teruk terhadap Amanah dalam soal agihan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia ini sepatutnya mampu menyedarkan sebahagian pendokongnya betapa perjuangan Islam yang cuba mereka bawa sukar terlaksana melalui Harapan.

“Jika kita lihat di negeri sasaran Amanah seperti Kelantan sekalipun, Amanah hanya diberi lima daripada 14 kerusi Parlimen, sedangkan ramai yang tahu Bersatu yang membolot kerusi tidak mempunyai pemimpin dan jentera yang kuat pun di negeri itu.

“Perlu diingat, jika masa depan Amanah dilihat berada di awang-awangan, masa depan Harapan juga akan terjejas sama kerana sudah tentu penyokong Amanah tidak akan beri komitmen penuh kepada rakan-rakan mereka,” katanya.[SH]


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

Read More »